Senja Itu

The last memory of Adam Khaliff ( 18.12.2011-13.11.2015)
Al Fatihah to my dearest Adam Khaliff.
No words can describe how much I miss u.

IMG_8267

Hari itu tidak seperti hari biasa. Walau permulaannya seperti biasa.

Mama hantar Adam ke tadika. Akhir-akhir ni Adam tak lagi meragam bangun pagi. Bila Adam dah mandi, Adam akan sambung tidur sementara tunggu mama bersiap. Bila mama dah siap, mama akan kejut Adam dan dukung keluar dari bilik. Walau mengantuk macam mana pun, Adam akan pakai kasut sendiri, turun tangga dan ke kereta sambil pimpin tangan mama. Dalam kereta Adam sambung tidur lagi

Mama hantar Adam ke tadika. Tak pernah mama duga, itu kali terakhir mama kiss adam. Tak seperti biasa, Adam mudah melepaskan mama pergi kerja pagi tu. Tapi mama tak perasan kelainan tu.

Selepas sekolah, mama n Auntie Ros jemput Adam dari sekolah. Perancangannye mama nak ke Bertam, beli tudung dan makan-makan di sana. Adam baru bangun tidur waktu tu. Mama yang beriya-iya ajak Auntie Ros dan Ibu Farah ke kedai tu. Mama nak beli shawl instant. Untuk dipakai ke Bangkok nanti.

Kite ke butik tudung tu. Ibu Farah pun ikut sama. Tapi dia guna kereta sendiri.Di butik tu, Adam seronok bermain dengan kawan baru. Budak perempuan sebaya Adam. Walau pun mulanya Adam bergaduh dengan dia sebab berebut kerusi. Lepas tu seronok Adam berlari berkejaran dengan dia. Mama ingat lagi, bila kita nak balik, Adam kiss tangan dia waktu salam. Prince charming sangat kan. You never failed to make me melting dear boy.

Kemudian kita ke kedai makan. Entah kenapa mama order 2 menu. Biasanya kita berkongsi 1 menu je. Charkueteow untuk Adam and Kuewteow kerang untuk mama. Sementara tunggu pesanan sampai, Adam minum air banyak sangat. Sekejap je dah separuh gelas. Dahaga sangat ye lepas main.

Bila pesanan dah sampai,Adam mula makan sambil main game phone. Mama suap adam sampai kenyang baru mama makan. Mama ingat lagi Adam komplen bila mama lambat suap. “Cepat la mama”.Jarang macam tu. Biasanya jenuh mama pujuk Adam makan. Adam turun dari kerusi ambil air mineral dalam peti ais berdekatan meja kita. Adam minum lagi. Seronok mama tengok Adam macam tu. Kemudian mama solat Asar di kedai tu. Ada disediakan ruang solat.

Selesai makan kita naik kereta untuk balik ke pulau. Hujan rintik-rintik. Adam di seat belakang mama, masih lagi main game phone. Auntie Ros di sebelah mama. Mama mula memandu. Seperti biasa.

Sampai la di highway sebelum hospital Seberang Jaya, Jalannya sedikit berbukit. Semua kereta laju. Mama di laluan paling kanan. Selepas bukit tu, mama terkejut sebab tiba-tiba trafik jammed di hadapan. Mama brek. Sempat berhenti dalam jarak yang selamat. Mama perhatikan kereta kancil dari belakang datang dengan laju. Nasib baik dia sempat menukar laluan ke arah kiri. Mama lega. Sempat berbual-bual dengan Auntie Ros.

Tiba-tiba.. (rasa tak sanggup nak terus menaip)

Kereta kita dihentam dengan kuat dari arah belakang. Kereta kita terperosok ke depan dan melanggar 3 buah kereta lain. Mama cuma mampu menyebut kalimah Allah. Perlanggaran demi perlanggaran berlaku. Kedengaran suara Auntie Ros juga berteriak kalimah Allah berulang kali sehingga perlanggaran tamat. Tapi mama tak dengar langsung suara Adam.

Selepas itu, mama berusaha keluar. Sedikit sukar kerana pintu dah kemek. Kemudian mama cuba buka pintu di bahagian tempat duduk Adam. Adam dah kaku. Ya Allah, anak aku!!!

Orang ramai bantu mama buka pintu, Ruang Adam duduk tak terjejas pun. Mama keluarkan Adam, Baringkan Adam di tepi jalan. Adam dah terkulai. Tiada kecederaan luaran tapi Adam tak sedar. Mama mula menangis dan berteriak. Tiba-tiba Adam gasping. Lagi takut mama tengok keadaan tu.

Kenapa anak saya macam tu??!!” Mama dah tak hirau keadaan sekeliling. Kereta pun mama tak sempat tengok keadaannya, Mama cuma pikir Adam. Badan mama pun mama tak rasa sakit.

Auntie Ros cuba buat CPR. Mama sambung buat CPR. Mujur ada Auntie Ros. Dia yang cepat bertindak. Dia yang kumpul barang-barang berharga dalam kereta.Ada orang guna walkie-talkie, mungkin orang towing kereta meminta supaya ambulans dihantar ke tempat tu.

Cepat hantar ambulans. Ada budak tengah nazak ni

Mendengar perkataan nazak, mama menjerit lagi. Anak aku tu!!

Somebody please call the ambulance!!” itu la mama. Bila stress, bahasa Inggeris yang terkeluar dari mulut tanpa sedar.

Mujurlah ada hamba Allah datang menolong, tanpa banyak cakap dia datang angkat Adam masuk dalam kereta. Mama terus capai handbag dan powerbank. Hamba Allah tu memandu kereta Vellfire kot berwarnaa hitam. Kunci kereta mama serahkan pada Auntie Ros. Biarlah dia yang uruskan kereta tu.

Di dalam kereta hamba Allah tu, Mama merintih “Allah duga aku lagi”.. Adam terus gasping. Tapi jarak di antara satu gasping dengan gasping yang lain agak lama. Perjalanan tu mama rasa terlalu lama. Mama pun tak tahu kat mana kita waktu tu. Tapi mama nampak lampu isyarat. Mama rasa lama sangat lampu isyarat tu. Sampai mama merayu hamba Allah tu tolong pandu laju-laju. Dia pula yang tenangkan mama. Di mulut ni tak lekang dari menyebut kalimah Allah.

La hawla wala kuwwata illa billah..

Laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minnazzolimin

Mama call Baba Adam. Tak berjawab. Mama faham, terlalu faham. Terketar-ketar jari mama pegang telefon. Mama call Umi Tok, Cik Nanan yang angkat. Dia sempat bergurau sebelum mama bagitahu kita kemalangan dan Adam tak sedarkan diri. Cik Nanan terus menangis. Bateri telefon cuma tinggal 2%. Adam dah guna banyak untuk main game tadi.

Sesampainya di Hospital Seberang Jaya, Adam mula diberikan rawatan. Hamba Allah tu terus menunggu sebelum minta diri untuk beredar. Dia perlu teruskan perjalanan ke KL. Mulia sungguh hati hamba Allah tu.

Ibu Ros sampai. Katanya ada orang tumpangkan dia. Kereta mama dah ditarik. Ke mana? Mama pun tak tahu.

Air mata ni entah berapa liter dah mengalir. Tapi entah kenapa, satu kekuatan datang kepada mama. Mama tidak lagi meraung. Mama mampu bertenang. Kemalangan berlaku lebih kurang jam 7.00 malam. Jam 7.30 kita dah berada di Hospital Seberang Jaya. Ibu Farah sampai 15 minit selepas itu.

Tak tahu apa yang patut mama buat. Melihat keadaan adam, mama tak mampu buat apa-apa. Doktor dah amik keterangan dari mama tentang kemalangan dan keadaan Adam selepas kemalangan. Bersungguh-sungguh dia tanya berapa lama tempoh dari saat kemalangan sehinggalah ke hospital.

Mama minta pada jururawat, mama nak solat. Jururawat bagi mama guna bilik rehat yang mereka gunakan. Di dalamnya tempat mereka letak beg-beg dan barang berharga. Rasa pelik bila diberi kebenaran guna bilik tu.

Mama ambil wudhuk, terasa sakit di betis. Baru perasan, ada sedikit luka. Mama solat maghrib. Kemudian mama solat hajat. Mama tak tahu keadaan Adam. Tapi mama minta pada Allah, permudahkanlah segalanya. Andai sudah sampai masa Adam pergi, permudahkanlah. Andai masih ada peluang Adam bersama mama, permudahkanlah Ya Allah.

Air mata setia bersama.

Selesai solat, mama kembali ke tempat Adam. Tiada perubahan. Masih kaku. Sedikit biru. Baju adam dah ditanggalkan. Tiub dimasukkan ke mulut Adam. Disambung kepada tangki oksigen. Mama tak percaya tu Adam anak mama. Baru sejam yang tadi mama menyuap Adam makan. Dan kita sangat gembira.

Bersambung..

5 thoughts on “Senja Itu”

  1. mama adam kuat. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Subhanallah, anak syurga ini hadiah utk awk Izza. InsyaAllah akan bertemu di syurga nnti. At least,izza xperlu risau kemana destinasi abadi adam,sbb kita semua tahu tempat dia di syurga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *