Malam Itu..

Sambungan dari entry Senja Itu..

H01B5922
Adam.. mama terlalu rindu.

Doktor maklumkan pada mama, Adam perlu dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang. Doktor perlu buat CT scan pada otak Adam. Mama tahu ini terlalu serius. Sambil menunggu mereka membuat persiapan, mama buka aplikasi Al-Quran dalam telefon mama.

Mama baca Quran. Berserta terjemahan dalam Bahasa Inggeris. Ya Allah.. andai benar apa yang aku baca..Air mata mengalir lagi..Mungkinkah ini petunjuk dariMu? Ya Allah, bantu aku untuk redha.

Waktu itu mama didatangi orang yang katanya dia adalah peguam. Mama terus bagi Auntie Ros uruskan orang tu. Mama tak boleh fikir waktu tu.

Kemudian Adam ditolak keluar dan dimasukkan ke dalam ambulans. Sungguh, pemandangan waktu itu mama tak pernah bayangkan. Pelik. Anak mama. Dalam ambulans. Kaku. Sebelum itu, mama diminta menandatangani satu borang. Menyatakan bahawa, andai berlaku apa-apa kepada Adam termasuklah kematian sewaktu perjalanan itu, mama tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak hospital. Lemah kaki mama membaca ayat demi ayat tu. Mujur ada Kak Mariani. Bila dia sampai mama pun tak sedar.

Di dalam ambulans, hati mama tak pernah tenang. Mesin-mesin dan wayar-wayar berselirat di tubuh Adam. Bacaan pada mesin meresahkan hati mama. Perjalanan agak bumpy terasa seperti mencucuk-cucuk tulang belakang mama. Sakit makin terasa.

Sampai di Bahagian Kecemasan Hospital Pulau Pinang, adam terus ditolak ke bilik untuk CT scan. Langkah mama makin perlahan. Sakit. Tak mampu mengejar Adam. Mama cuma seorang diri waktu tu. Tiba-tiba Mama nampak 2 kelibat yang dikenali. Kawan sekerja. Aik, buat apa pulak 2 orang ni kat sini. Melawat orang kot. Kak Tini dan Ayu datang memeluk mama.. Ehh?

Rupanya Auntie Ros dah bagitau kawan-kawan mama. Mereka dah sampai ke Seberang Jaya sebelum berpatah balik ke pulau. Kak Tini memapah mama, Ayu mengejar Adam bimbang hilang dari pandangan.

Ujian CT scan dilakukan kepada Adam. Sewaktu katil adam ditolak keluar, mama lihat Doktor yang mengiringi kita tadi tersenyum. Sedikit lega mama.. Pen Kanan Ko-K sampai bersama sahabatnya. Ya Allah, rasa bersyukur bila ditemani. Apatah lagi oleh orang-orang yang selalu kita bergurau senda di sekolah.

Adam dimasukkan ke unit Resus. 3 doktor pakar telah bersedia menanti kehadiran Adam. Kami menanti. Bila diminta kebenaran untuk tambah darah kepada Adam, mereka minta persetujuan dari ibu dan bapa Adam. Mama bagitau, kebenaran mama sudah cukup.

Menunggu beberapa lama, mereka bertanyakan lagi tentang ibu bapa Adam. Kawan mama pula tolong jawab, Baba Adam pergi kursus.

Jam 10.30 malam baru kelibat Baba Adam kelihatan.

Doktor memanggil kami. Seorang demi seorang doktor cuba menjelaskan keadaan Adam kepada kami. Doktor pertama awal-awal lagi sudah geleng kepala. Doktor kedua cuba mencari perkataan yang paling baik untuk menjelaskan keadaan Adam.

“Puan, ini anak yang ke berapa?”

“Ini satu-satunya anak saya”

Air muka doktor itu berubah.

” Puan…” Seperti mencari perkataan yang sesuai untuk diluahkan.

“Doktor, tak perlu la doktor cuba berlapik. Terus terang sahaja bagaimana keadaan anak saya”

“Dia sangat kritikal. Otaknya mula membengkak. Paru-paru dia mengalami pendarahan. Dia tidak dapat bekalan oksigen untuk tempoh yang agak lama. Tulang lehernya sedikit retak.”

Ya Allah.. mahu luruh jantung mama. Seolah-olah cuma jasad mama di situ. Tapi Allah itu Maha Mengasihani. Suatu kekuatan muncul dalam diri. Mama masih mampu berdiri.

“Berapa peratus peluang untuk sembuh?

“Lebih kurang kosong”

Mengertilah mama..

“Andai kata dia sembuh, dia tidak akan kembali menjadi budak yang aktif seperti sebelum ini”

Ya Allah, terbayang anak mama semakin petah bercakap, berlari dan bermain. Mama akan kehilangan semua tu? Allah.. berat ujian ini Ya Allah. Tapi aku yakin, Engkau telah tulis yang terbaik untuk aku dan Adam.

Baba masih berharap Adam akan kembali sembuh. Seperti menafikan kata-kata doktor. Mungkin juga untuk mententeramkan diri sendiri.

Waktu mama menjenguk keadaan Adam, tiba-tiba Adam tidak stabil. Pasukan perubatan berusaha membuat CPR. Ya Allah, rasa nak menjerit mama menghalang mereka. Tak sanggup lihat tubuh kecil itu ditekan dadanya. Walaupun mama faham prosedur CPR, Adam kembali stabil.

“Masuklah kalau nak spend masa bersama anak” Doktor memberi laluan kepada kami. Sambil mengarahkan staff yang lain keluar. Entahlah, mama tak terasa sangat. Mama dah betul-betul mengisi masa bersama Adam sewaktu Adam sihat.

Baba menghampiri Adam. Tidak lama masa diberi. Adam akan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi untuk kanak-kanak.

Doktor lain pula memberi penerangan kepada kami.

“Sekarang jantung baby ni berdegup kerana ubat. Sejujurnya dia sendiri tidak mampu dah. Kami boleh meneruskan ubat ini sehingga 48 jam.”

” Doktor, saya tak mahu anak saya dalam keadaan begini lama-lama. Permudahkanlah dia pergi”

“Puan tidak perlu buat keputusan sekarang, kami masih pantau lagi keadaan dia. Puan berbincang dulu dengan keluarga.”

Entah, Hati mama memang menyatakan Adam tidak akan bertahan lama. Sebelum doktor-doktor bagitau mama, Allah terlebih dahulu bagitau mama..

Baba masih lagi ingin Adam diteruskan dengan life support.

“Biar anak kita pergi dengan tenang. Mama tak sanggup nak tengok dia macam tu lama-lama”

Papa Gee, Mamy Erni dan Kak Hanee sampai dari KL jam 1 pagi. Kawan-kawan sekolah mama mula meminta diri untuk pulang. Mama sangat berterima kasih pada mereka. Sokongan dari mereka betul-betul membantu mama.

Kakak Hanee, sepupu merangkap kawan pertama dalam hidup Adam turut bersedih. Semua orang sedih tengok keadaan Adam. Mama, usah cerita la.

Jam 4 pagi, Umi Tok, Abah Tok, Cik Nanan dan Cik Ee sampai dari Kelantan. Mereka bertolak jam 9 malam. Kesian Abah Tok memandu malam-malam.

Dada kiri Adam ditebuk, untuk mengeluarkan darah yang berkumpul. Selimut pemanas badan diletakkan, Adam diselimut rapi. Tapi tubuh Adam sejuk. Badan yang tadi kebiruan mula menjadi normal.

Terasa panjang malam itu.. Mama masih dengan baju kurung yang disarung sejak dari pagi. Baru teringat mama belum solat Isyak. Bersama dengan Papa Gee dan Mamy Ernie, kami pergi mencari surau. Surau di hospital telah tutup. Masjid berdekatan pun tutup. Masjid negeri juga tutup. Akhirnya kami solat di surau Petronas Jalan Masjid Negeri. Selesai solat, kami kembali ke hospital.

Melalui jalan di sekitar hospital, teringat mama hampir 4 tahun yang lalu di hospital ini jugalah Adam dilahirkan. Menjadi anugerah terindah buat mama. Di hospital ini jugalah mama bertarung nyawa melahirkan Adam. Baba hanya menemani di luar bilik bersalin.

Mama agak biasa dengan hospital ini. Sewaktu mengandungkan Adam, 2 kali mama dimasukkan ke dalam wad di hospital ini. Malah Adam sendiri pun pernah masuk wad di sini sewaktu berumur setahun lebih akibat demam.

Sesampai di hospital, keadaan Adam masih tak berubah. Sakit belakang mama makin teruk. Mencucuk-cucuk. Ditambah pula dengan ruang menunggu yang hanya menyediakan kerusi. Kakak Hanee dah lena di kerusi walaupun tidak selesa.

Mama dan Baba di tepi katil Adam. Bercerita seperti Adam mendengar. Adam, kita jarang sekali dapat duduk bersama bertiga. Adam, esok sudah jumaat. Sabtu nanti Hari Ihtifal Little Caliph. Adam bangunlah sayang. Adam kan kena sertai persembahan fashion show. Adam, mama terlalu excited untuk pergi Hari Ihtifal dengan Adam. Dah banyak hari mama pujuk Baba supaya hadir bersama kita. Walau apa alasan Baba, Mama tetap akan terus berusaha pujuk Baba.  Mama nak ambil gambar Adam banyak-banyak.

Akhirnya mama terpaksa balik jam 5.30 pagi. Mama perlu sedikit rehat. Semua orang dah penat. Baba teman Adam sepanjang malam. Hari esok mungkin lebih panjang dari hari ini. Andai tiba masa untuk Adam pergi, pergilah dengan tenang. Jangan risau keluh kesah dunia. Segalanya mama dah halalkan. Mama redha. Jangan tunggu mama ye sayang.

Bersambung..

5 thoughts on “Malam Itu..”

  1. Anti akan doakan Adam.. Setiap Kali anti baca post mama Adam , setiap Kali anti menitiskan air mata..Adam akan sentiasa dalam hati anti…

  2. Be strong Izza.
    Pinjamlah pengalaman ini untuk ramai lagi insan yang masih lemas di kolam perasaan untuk terus menapakkan sedikit kelegaan. Saya kagumi cara mama Adam ini menelusuri Ketentuan ini. Segalanya adalah suratan takdir-Nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *