Pagi Itu..

16.01.2016.. Sudah hampir 2 bulan Adam pergi..

Mama kembali menaip. Sambungan dari entry Senja Itu dan Malam Itu.. Ini bahagian yang terakhir.

Setelah hampir 24 jam tanpa rehat, masih dengan berbaju kurung. Kami semua pulang ke rumah. Baba menemani Adam. Berzikir di sisi Adam yang kaku. Alangkah indahnya jika hari-hari sebelum ini Adam berpeluang mengisi lebih masa dengan Baba. Tapi itu di luar kuasa Mama.

Sampai di rumah, semua orang terlalu penat. Mama tidur tanpa mandi atau tukar baju. Lebih kurang sejam. Kemudian bangun untuk Subuh.

Selepas subuh, mama call baba.

“Adam ok?”

“Takde perubahan pun”

Perasaan mama bercampur baur waktu tu. Lega sebab Adam bukan makin kritikal. Berharap agar Adam semakin elok. Mama bukak Whatsapp, memberitahu kejadian kemalangan kepada teman-teman rapat. Mengharapkan doa dari rakan-rakan agar Adam kembali sembuh.

15 minit selepas mama call, baba call mama balik.

“Awak, Adam dah takde”

“Allahuakbar. Innalillahi wainna ilaihirajiun”

Baba menangis. Mama menangis. Anak kami telah dijemput menemui Penciptanya yang abadi. Anak yang dikandung 9 bulan dalam rahim. Allah..

To Him we belong and to Him we shall return.

Umi, Abah, Papa Gee, Mamy Ernie, Cik Nanan, Cik Ee, Kakak Hanee semua bersedih.

Mama? Hanya Allah yang tahu. Tapi mama telah jangka Adam akan pergi. Ada sedikit perasaan lega, pengakhiran anak mama adalah yang terbaik Allah tetapkan. Sedih mama kehilangan Adam tapi mama yakin Allah bersama mama dan Adam pergi ke tempat yang paling elok. Allah menguji orang-orang yang terpilih. Mama lah orang yang terpilih itu. Untuk diangkat darjatnya disisi Allah. Mama dalam perhatian Allah.

Mama lihat barang mainan Adam. Kapal terbang Adam tersusun rapi di atas meja. Baru bulan lepas Baba belikan Adam set kapal terbang tu. Belum puas lagi Adam main kapal terbang tu.. Allah.. pemiliknya telah pergi. Kesayangan mama telah tiada lagi.

Mama bersiap untuk ke hospital. Seperti kosong kepala mama. Begitu juga hati mama. Tapi mama tak menangis dah. Entah. Papa Gee terpaksa turunkan mama di depan Unit Kecemasan sebab tiada parking. Mama berjalan masuk seorang diri menuju ke ICU Kanak-kanak.

Mama berjubah hitam. Sebenarnya kelmarin mama dah berpakat dengan Auntie Ros dan Ibu Farah untuk mengenakan jubah hitam dan memakai tudung baru yang kita beli di butik semalam. Tak sangka memang betul mama berjubah hitam hari ni.

Mama berjalan. Di luar wad mama nampak wajah-wajah yang mama kenali. Rupanya rakan-rakan mama dah terlebih dahulu sampai. Mama senyum. Kawan-kawan dari sekolah lama mama mengajar pun ada. Pengetua dan Penolong Kanan pun ada. Mereka peluk mama dan usap bahu mama. Mama masuk wad ICU, di sebalik tirai tempat katil Adam, Jenazah Adam terbaring di situ dengan kain putih menutupi sampai ke bahu. Semua wayar-wayar yang dipasang semalam sudah dibuka.

Allah.. anak mama..

Perlahan-lahan mama cium pipi Adam. Sejuk, tidak sehangat selalu. Tidak berbalas. Kaku. Perasaannya aneh. Selalunya Adam balas bila mama cium pipi Adam. Selalunya Adam mesti nak cium bibir mama. Mama pula kena lari dari Adam. Haha..

Mama mula rindu Adam.

Adam terpaksa dipindahkan ke Unit Forensik. Bedah siasat perlu dilakukan. Mama dan Baba meminta bedah siasat yang paling minimum untuk Adam. Doktor bersetuju. Bedah siasat ini hanyalah prosedur. Agak lama kami menunggu kehadiran polis untuk bedah siasat.

Mama terpaksa pergi untuk membuat laporan kemalangan. Baba uruskan jenazah Adam. Mama bukan tidak mahu uruskan jenazah Adam. Tapi mama takut mama tak mampu. Mama takut mama collapse.

Kami ke balai polis. Urusan di situ agak lama. Lama sebab semua pihak saling tolak menolak untuk terima kes itu. Lama mereka menelefon antara balai, bertekak balai mana yang sepatutnya menerima kes itu. Sedih juga mama, jenazah Adam akan dikebumi nanti. Sempatkah mama?

Kemudian barulah mama tahu rupanya bila ada kematian, laporan polis mengenai kemalangan tersebut boleh dibuat dalam masa 3 hari. Bukanlah dalam tempoh 24 jam seperti kemalangan biasa. Tapi dah alang-alang kami di balai, kami selesaikan juga urusan laporan polis.

Kemudian kami ke kampung Baba Adam di Bandar Baharu. Berhampiran Parit Buntar. Semua persiapan telah selesai. Adam telah dimandikan dan dikafankan di hospital. Semua Baba yang uruskan. Sampai di kampung Baba, mama lihat Adam terbaring di atas katil. Siap dikafankan. Kecuali bahagian muka belum ditutup.

Di katil yang sama jugalah tempat jenazah Tok Wan Adam diletakkan 3 tahun lalu. Orang yang paling sayangkan mama dalam family Baba Adam. Mama pun sayangkan dia. Bapa mertua yang sangat baik.

Mama duduk di birai katil. Mama renung wajah Adam. Adam, ini kali yang terakhir mama dapat kiss pipi Adam. Adam, sampai waktu kita jumpa lagi. Kulit wajah Adam kemerah-merahan seperti hayat Adam masih ada. Tidur dengan sedikit mata terbuka, betul-betul seperti Adam tidur. Alhamdulillah wajah itu terlalu sempurna. Alhamdulillah jenazah yang sempurna. Mama tidaklah trauma sangat memikirkan kesakitan Adam.

Mama hadiahkan surah yasin untuk hero kesayangan mama. Damailah engkau di sisi Pencipta kita. Cukuplah engkau berjuang dalam kehidupan ini. Mama redha pemergian Adam. Tidak perlu mama halalkan setiap titisan susu selama 2 tahun 3 bulan Adam menyusu kerana Adam tidak pernah berhutang dengan mama. Tidak perlu mama ampunkan dosa anak mama kerana anak mama yang berusia 3 tahun 10  bulan 26 hari ini tidak pernah berdosa dengan mama. Tidak perlu mama mohon pada Allah untuk jagakan Adam kerana Allah telah berjanji Adam di tempat yang paling baik untuk seorang makhlukNya.

Selepas Asar, jenazah Adam dibawa ke masjid depan rumah TokWan untuk solat jenazah. Mama dan Umi Tok antara yang turut serta solat jenazah.

Adam, sebelum ini mama berdoa Adam menguruskan jenazah mama. Adam solat jenazah untuk mama, Adam mengusung jenazah mama ke kuburan. Adam yang tolong kebumikan jenazah mama dan Adam yang akan doakan mama.

Tapi perancangan Allah yang paling baik. Tak pernah terlintas dalam fikiran yang mama akan solatkan jenazah Adam dan mengiringi Adam ke kuburan. Rasa tidak percaya melihat jenazah Adam diturunkan ke liang lahad. Rasa tak percaya melihat liang lahad dipenuhi tanah dan mama tahu anak mama di bawah sana.

Baba, PakNgah dengan Acu yang usung jenazah Adam ke kuburan dekat dengan masjid. Bagus semua adik beradik Baba. Mereka yang uruskan pengebumian. Terima kasih Acu, Uncle Jon, Auntie La dan PakNgah. Semua orang sayangkan Adam. Tapi Allah lebih sayangkan Adam.

Mama tidak menangis sayang. Ini pengakhiran paling baik sayang. Segala sengketa terungkai. Apa yang di belakang mama, mama tak mahu ambil tahu. Cukuplah family mama dengan family Baba mampu bersalam dan beramah mesra. Inilah antara hikmah pemergian Adam. Cukuplah semua bermaaf-maafan.

Selesai pengebumian, Mama kembali ke rumah Tok Wan. Sahabat-sahabat mama dari jauh pun datang menziarahi. Terharu Mama. Cikgu-cikgu sekolah mama pun datang. Pengetua dengan Penolong-Penolong Kanan pun datang. Mereka menziarahi tanpa mengira kaum. Ada yang berkata inilah kali pertama mereka menghadiri pengebumian orang Islam.  Alhamdulillah dirahmati dengan orang-orang yang baik begini.

Petang itu kami kembali ke Penang. Malam itu saudara mara datang dari jauh menziarahi. Cik Nini, Ayah Deen dan baby Aqeef, your beloved cousin pun datang Adam.

Melihat Baby Aqeef dan Kak Hanee main mainan Adam, terasa seperti Adam ada bersama mereka.

Adam Khaliff, pinjaman Allah yang tidak ternilai. Alhamdulillah diberi peluang menjadi seorang mama buat insan yang hebat. Alhamdulillah diberi peluang mengandungkan 9 bulan anak yang baik. Alhamdulillah diberi peluang menjaga dan membesarkan Adam Khaliff selama hampir 4 tahun. Alhamdulillah diberi kekuatan menjaga, membesarkan Adam dan menguruskan Adam seorang diri bermula Adam berumur setahun 7 bulan.

Hari ini Ya Allah, aku kembalikan pinjamanMu ini Ya Allah. Ampunkan aku di atas semua kekurangan aku menjaga amanahmu dengan baik.

H01B5430

 

5 thoughts on “Pagi Itu..”

  1. Adam.. Ketahuilah bahawa mama adam sgt tabah orangnya… Adam tunggu mama ye… Berat mata
    Membaca tulisan ni, siapa tahu berat lagi hati yg menanggungnya… Ya Allah engkau teruslah beri kekuatan kepada sahabt ku ini…. Tinggi kn darjatnya di sisimu atas segala rasa redha nya terhadap dugaan Mu yg seberat ini.. Aamiinn ya rabbal aalamiinn..

  2. Walau tak pernah bersua dengan Adam, hati ini terasa kasih padanya. Mungkin sebab diri ini juga seorang ibu. Rindu itu pasti bertamu, tapi hati Izza akan sentiasa tenang mengenangkan Adam berada di tempat yang terbaik..

  3. Mama Iti pn love Adam..
    Mama Adam org yg bertuah punya anak seperti Adam Khaliff..
    I’ll keep our memory together…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *