Istighfarlah mama..

Kadangkala kesedihan itu datang. Dalam tawa, tiba-tiba kesedihan datang menyapa. Istighfarlah mama.

Terkenang minggu-minggu terakhir Adam bersama mama.. Adam memang banyak menunjukkan perkembangan positif setelah mula bersekolah. Balik dari sekolah, dia menyanyi lagu-lagu nasyid, membaca surah-surah pendek kepada mama.

Berumur 3 tahun lebih, dan mempunyai masalah lambat bercakap. Mama berbangga bila Adam dah hafal surah Al-Fatihah lengkap. Adam boleh baca 3 qul, selawat dan bacaan-bacaan dalam solat walaupun Adam tidak ingat sepenuhnya. Mama bangga sebab semua tu hasil usaha mama sebagai ibu tunggal. Tidak sia-sia mama berhabis duit menghantar Adam ke tadika Little Caliph. Sebab bagi Mama, Adam harta mama yang tak ternilai dunia dan akhirat.

Paling terakhir, mama masih ingat lagi. Ketika menuruni tangga rumah, berpimpin tangan dengan Adam.

“Astaghfirullahalazim” Adam mengalunkan istighfar. Beberapa kali. Mungkin itu perkara yang dia baru belajar di sekolah. Dalam hati mama, bersyukur. Anak kecil itu mula belajar tabiat yang baru.

Teringat lagi, seminggu Adam tinggal dengan Baba di kampung. Selepas seminggu Adam kembali bersama mama, Adam menyanyi lagu Sakitnya Tuh Di Sini. Ya Allah, terkejut mama. Rasa marah. Tak pernah mama ajar lagu dangdut. Tapi dia sendiri pun tak tahu apa yang dinyanyikan. Itu lagu cinta yang lara. Dinyanyikan anak berumur 3 tahun. Salah siapa? Mungkin inilah hikmah penceraian.

Entahlah, sejak mama melahirkan Adam, mama dah hilang semua hiburan itu. Cerita korea cuma tinggal dalam simpanan. Sesekali bila Baba ambil Adam untuk 2 3 hari barulah mama tonton. Lagu-lagu terbaru mama tak ambil tahu. Dengan Adam hanyalah lagu-lagu dan kartun pendidikan kegemaran Adam. Drama Melayu pun mama tak sempat nak tonton. Hiburan mama adalah Magic English, Upin Ipin, Didi And Friends dan yang lain lagi lah.

Lagu Inggeris kegemaran Adam, Immortal. OST cerita kartun Big Hero Six. Teringat lagi, kita bertekak dalam kereta. Lagu itu perlu diulang-ulang berpuluh-puluh kali sampai mama dah bosan. Hari ini, air mata menitis mendengar lagu itu.

Terkenang lagi, balik dari Giant membeli barangan rumah, kita singgah di Masjid Negeri. Mama perlu solat Asar. Adam sangat teruja. Teruja Adam kerana di situ ada mesin vendor air. “Kita solat dulu, Adam. Nanti keluar baru kita beli air. ok?”

Dia mengangguk. Berpimpin tangan memasuki ruang wudhu bersama Mama. Basah baju dia berwudhu. Dia meniru mama berwudhu. Terima kasih kepada guru tadika dia yang mengajar. Mama tak sempat ajar semua itu. Tapi mama tahu, bila mama jemput Adam dari sekolah waktu petang, dia bercerita dalam bahasanya yang dia baru selesai solat Asar . Menunjukkan anak rambutnya yang basah dengan wudhu.

Kemudian ke ruang solat wanita. Mama menunaikan solat Asar. Sambil dia berguling-guling di atas karpet yang empuk.

“Adam, dah nak masuk waktu Maghrib. Kita tunggu solat Maghrib ye Adam.” Dia terus bermain, berlari-lari dengan gembira.

Bila selesai Azan, mama berdiri di dalam saf. Meletakkan dia berdiri di tepi Mama. Juga di dalam saf. Bersolat bersama-sama mama dan makmum yang lain. Hati mama bersyukur yang teramat. Dia mengikuti 3 rakaat lengkap tanpa meninggalkan saf. Walaupun tidak duduk diam sambil memandang ke kanan dan kiri, kadang-kadang ke belakang. Tetapi dia tetap di dalam saf. Masya Allah. Apabila imam membaca Al-Fatihah, dia turut membacanya dengan suara yang lebih kuat dari imam. Haha..

Selesai memberi salam, mama memeluknya “Good boy! Very good”

Keluar dari masjid, terus dia berlari ke mesin air.

Dia sangat seronok ke masjid. Berkali-kali mengajak mama singgah di masjid. Dah kenal dah dia dengan Masjid Negeri.

Sehingga hari ini, apabila mama bersedih, mama akan beristighfar. Terngiang-ngiang lagi di telinga Mama suara Adam beristighfar.

Sebenarnya bukan Mama yang ajar Adam. Tapi Adam yang ajar Mama.

2 thoughts on “Istighfarlah mama..”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *