Sembilan bulan tanpa Adam

Hampir sembilan bulan kehidupan tanpa Adam. Alhamdulillah mama mampu lalui. RIndu yang teramat. Melewati hari-hari tanpa Adam, yang ada cuma memori bersama Adam. Di mana-mana ada memori bersama Adam. Kadangkala bila rasa sedih, mama cepat-cepat memujuk hati. Ini perjalanan hidup Mama yang Allah tulis. Jangan risau. Dia tahu yang terbaik. Adam di tempat yang paling elok. Jangan risau. Akan tiba satu saat nanti, Mama akan kembali memeluk Adam. Kadang-kadang mama membayangkan bagaimana situasi itu nanti.

Mama meneruskan kehidupan. Sibuk. Kertas kerja lawatan, kertas soalan peperiksaan, sibuk menguruskan kelab dan badan uniform. Untuk diri sendiri, mama merancang percutian bersama kawan-kawan. Meluaskan pergaulan dengan kawan-kawan baru.

Dan yang terbaru, Alhamdulillah mama akan meneruskan impian yang tertangguh suatu masa dulu. Menyambung pengajian secara sambilan. Adamlah penguat semangat mama. Mama tahu ini sukar. Tapi mama tetap akan mencabar diri. 2 tahun mama bakal bergelumang dengan kuliah, tutorial, kerja kursus, peperiksaan dan dissertasi.

Bila terasa sunyi, Mama pujuk hati. Biar sunyi di dunia, jangan sunyi di akhirat. Tetapi selebihnya, mama tak sempat nak merasa sunyi. Ramai yang datang meluangkan masa dengan mama. Kalendar mama selalu dipenuhi temujanji bersama kawan-kawan rapat.

Alhamdulillah. Banyak hikmah apa yang mama dah lalui. Ternyata, Allah Maha Mengetahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *