Pasca Pemergian Adam.

Lagi sebulan cukuplah setahun pemergian Adam dari hidup Izza.

Minggu-minggu yang dilalui terasa sangat sibuk. Terisi dan produktif. Seperti 24 jam sehari tidak cukup untuk Izza. Baru 3 minggu memulakan kelas pengajian sarjana. Seakan tidak percaya impian yang pernah terkubur suatu masa dulu kini semakin hampir untuk direalisasikan.
Pengajian sarjana ini memang menuntut komitmen yang tinggi daripada Izza. Apatah lagi Izza memilih pengajian separuh masa. Pagi ke sekolah seperti biasa, dan kelas petang hingga malam.

screenshot_20161012-134922
Mencuri masa untuk bersama mereka.

Tidak cukup dengan itu, Izza mendaftarkan diri ke gym. Haha.. Ok, tak percaya kan. Ada 2 motif Izza ke gym. Satu, untuk menyihatkan badan (baca menguruskan badan). Dan kedua, menambah kawan. Jadi, tiada masa untuk bersedih, untuk merasa bosan dan berfikir yang bukan-bukan. 24 jam sehari tidak cukup. 7 hari seminggu tidak cukup.
Pencapaian terbaru semalam, berjalan di atas treadmill sejauh 3km. Dan mampu berlari 20 + 10 minit di atas treadmill. Ok, bangga dengan diri sendiri. Haha.. Biarlah pencapaian orang lain lebih bagus pun. Haha.. Sebab Izza bukanlah orang yang bersukan sejak dari muda. Ye, dah tua sekarang ni.
Yang paling ketara, masa untuk melepak dengan kawan-kawan di sekolah pun makin kurang. Sedih juga tak dapat ikut aktiviti-aktiviti teman-teman rapat. Tapi, berkorbanlah 2 tahun ini demi segulung ijazah sarjana. Daaann.. disebabkan masa yang selalu terkejar-kejar ke sana sini, Izza tiada masa untuk melayan drama-drama manusia di sekeliling Izza. Tiada masa mendengar cerita-cerita tentang orang itu orang ini. Tiada masa untuk mengira kelebihan orang itu, kekurangan orang ini.. Hahaha.. ini sangat la bagus. Tenang. Sibuk Izza memanfaatkan kelebihan diri sendiri dan memperbaiki kekurangan diri sendiri.
Di sekolah, memang tugasan sentiasa menimbun. Tidak cukup dengan itu, ada lagi program ekstra. Tak sabar menunggu November.
Tapi.. bila dah sibuk terkejar-kejar selalu, waktu makan mula terabai. Pemakanan sihat pun dah terabai. Apa tidaknya, habis sahaja kelas, pasti Restoran Nasi Kandar Subaidah jadi tempat persinggahan. Aiyoo.. Sampai mamak dah kenal kita. Ape ni Izza? Bila dah tiada masa sangat, drive-thru KFC pula. Makan sambil drive. Bukan makan. Melantak.
Dunia Izza sekarang hanyalah diri sendiri, kerja, ibu bapa dan keluarga, teman-teman rapat, anak-anak murid, healthy lifestyle, clean eating, gadgets, melancong.

Andai dapat tidur siang, nikmatnya terasa. Sebab jarang dapat tidur siang. Selalunya, tidur di meja sambil buat assignment atau buku rekod mengajar. Haha.. Dan bila malam, memang tiada masalah untuk tidur. Bertemu sahaja kepala dengan bantal, memang hilanglah Izza dari dunia nyata. Haha
Begitulah hidup Izza. Memulakan kembali kehidupan tanpa Adam. Alhamdulillah, Allah sentiasa bersama. Memajukan diri ke depan. Tidak lagi menoleh ke belakang. Di belakang hanyalah memori. Tidak boleh diubah. Masa depan masih boleh dicipta.

Izza menjangkakan penceraian dan pemergian Adam membuatkan Izza seperti patah kaki, hilang semangat. Rupanya Allah beri Izza sayap untuk terbang lebih jauh. Lebih bersemangat. Inilah hikmah kejadian.

Sembilan bulan tanpa Adam

Hampir sembilan bulan kehidupan tanpa Adam. Alhamdulillah mama mampu lalui. RIndu yang teramat. Melewati hari-hari tanpa Adam, yang ada cuma memori bersama Adam. Di mana-mana ada memori bersama Adam. Kadangkala bila rasa sedih, mama cepat-cepat memujuk hati. Ini perjalanan hidup Mama yang Allah tulis. Jangan risau. Dia tahu yang terbaik. Adam di tempat yang paling elok. Jangan risau. Akan tiba satu saat nanti, Mama akan kembali memeluk Adam. Kadang-kadang mama membayangkan bagaimana situasi itu nanti.

Mama meneruskan kehidupan. Sibuk. Kertas kerja lawatan, kertas soalan peperiksaan, sibuk menguruskan kelab dan badan uniform. Untuk diri sendiri, mama merancang percutian bersama kawan-kawan. Meluaskan pergaulan dengan kawan-kawan baru.

Dan yang terbaru, Alhamdulillah mama akan meneruskan impian yang tertangguh suatu masa dulu. Menyambung pengajian secara sambilan. Adamlah penguat semangat mama. Mama tahu ini sukar. Tapi mama tetap akan mencabar diri. 2 tahun mama bakal bergelumang dengan kuliah, tutorial, kerja kursus, peperiksaan dan dissertasi.

Bila terasa sunyi, Mama pujuk hati. Biar sunyi di dunia, jangan sunyi di akhirat. Tetapi selebihnya, mama tak sempat nak merasa sunyi. Ramai yang datang meluangkan masa dengan mama. Kalendar mama selalu dipenuhi temujanji bersama kawan-kawan rapat.

Alhamdulillah. Banyak hikmah apa yang mama dah lalui. Ternyata, Allah Maha Mengetahui.

Istighfarlah mama..

Kadangkala kesedihan itu datang. Dalam tawa, tiba-tiba kesedihan datang menyapa. Istighfarlah mama.

Terkenang minggu-minggu terakhir Adam bersama mama.. Adam memang banyak menunjukkan perkembangan positif setelah mula bersekolah. Balik dari sekolah, dia menyanyi lagu-lagu nasyid, membaca surah-surah pendek kepada mama.

Berumur 3 tahun lebih, dan mempunyai masalah lambat bercakap. Mama berbangga bila Adam dah hafal surah Al-Fatihah lengkap. Adam boleh baca 3 qul, selawat dan bacaan-bacaan dalam solat walaupun Adam tidak ingat sepenuhnya. Mama bangga sebab semua tu hasil usaha mama sebagai ibu tunggal. Tidak sia-sia mama berhabis duit menghantar Adam ke tadika Little Caliph. Sebab bagi Mama, Adam harta mama yang tak ternilai dunia dan akhirat.

Paling terakhir, mama masih ingat lagi. Ketika menuruni tangga rumah, berpimpin tangan dengan Adam.

“Astaghfirullahalazim” Adam mengalunkan istighfar. Beberapa kali. Mungkin itu perkara yang dia baru belajar di sekolah. Dalam hati mama, bersyukur. Anak kecil itu mula belajar tabiat yang baru.

Teringat lagi, seminggu Adam tinggal dengan Baba di kampung. Selepas seminggu Adam kembali bersama mama, Adam menyanyi lagu Sakitnya Tuh Di Sini. Ya Allah, terkejut mama. Rasa marah. Tak pernah mama ajar lagu dangdut. Tapi dia sendiri pun tak tahu apa yang dinyanyikan. Itu lagu cinta yang lara. Dinyanyikan anak berumur 3 tahun. Salah siapa? Mungkin inilah hikmah penceraian.

Entahlah, sejak mama melahirkan Adam, mama dah hilang semua hiburan itu. Cerita korea cuma tinggal dalam simpanan. Sesekali bila Baba ambil Adam untuk 2 3 hari barulah mama tonton. Lagu-lagu terbaru mama tak ambil tahu. Dengan Adam hanyalah lagu-lagu dan kartun pendidikan kegemaran Adam. Drama Melayu pun mama tak sempat nak tonton. Hiburan mama adalah Magic English, Upin Ipin, Didi And Friends dan yang lain lagi lah.

Lagu Inggeris kegemaran Adam, Immortal. OST cerita kartun Big Hero Six. Teringat lagi, kita bertekak dalam kereta. Lagu itu perlu diulang-ulang berpuluh-puluh kali sampai mama dah bosan. Hari ini, air mata menitis mendengar lagu itu.

Terkenang lagi, balik dari Giant membeli barangan rumah, kita singgah di Masjid Negeri. Mama perlu solat Asar. Adam sangat teruja. Teruja Adam kerana di situ ada mesin vendor air. “Kita solat dulu, Adam. Nanti keluar baru kita beli air. ok?”

Dia mengangguk. Berpimpin tangan memasuki ruang wudhu bersama Mama. Basah baju dia berwudhu. Dia meniru mama berwudhu. Terima kasih kepada guru tadika dia yang mengajar. Mama tak sempat ajar semua itu. Tapi mama tahu, bila mama jemput Adam dari sekolah waktu petang, dia bercerita dalam bahasanya yang dia baru selesai solat Asar . Menunjukkan anak rambutnya yang basah dengan wudhu.

Kemudian ke ruang solat wanita. Mama menunaikan solat Asar. Sambil dia berguling-guling di atas karpet yang empuk.

“Adam, dah nak masuk waktu Maghrib. Kita tunggu solat Maghrib ye Adam.” Dia terus bermain, berlari-lari dengan gembira.

Bila selesai Azan, mama berdiri di dalam saf. Meletakkan dia berdiri di tepi Mama. Juga di dalam saf. Bersolat bersama-sama mama dan makmum yang lain. Hati mama bersyukur yang teramat. Dia mengikuti 3 rakaat lengkap tanpa meninggalkan saf. Walaupun tidak duduk diam sambil memandang ke kanan dan kiri, kadang-kadang ke belakang. Tetapi dia tetap di dalam saf. Masya Allah. Apabila imam membaca Al-Fatihah, dia turut membacanya dengan suara yang lebih kuat dari imam. Haha..

Selesai memberi salam, mama memeluknya “Good boy! Very good”

Keluar dari masjid, terus dia berlari ke mesin air.

Dia sangat seronok ke masjid. Berkali-kali mengajak mama singgah di masjid. Dah kenal dah dia dengan Masjid Negeri.

Sehingga hari ini, apabila mama bersedih, mama akan beristighfar. Terngiang-ngiang lagi di telinga Mama suara Adam beristighfar.

Sebenarnya bukan Mama yang ajar Adam. Tapi Adam yang ajar Mama.

Murah Rezeki..

Setiap ujian, ada pertolongan Allah. Ada kemudahan diberikanNya.

Ada kursus kelmarin di sekolah. Hari minggu sukar sedikit sebab Izza tiada pengangkutan.

“Pn Annie.. Boleh Izza tumpang pergi sekolah?”

“Boleh Izza. Tapi tak dapat la nak hantar Izza balik. Ada urusan lain”

Waktu makan, Puan Ang beri kuih “Izza, I singgah kedai Melayu tadi. Kuih ni untuk U”

Kemudian Kak Farah pula “Izza, Kak Farah beli nasik lemak ni untuk Izza”

Habis kursus.. Pn Ang pula bertanya “Izza, balik dengan apa? Nak saya hantarkan?”

Balik rumah.

Kak Aida telefon “Izza, tadi Izza cakap ada barang nak beli. Jom, keluar. Kak Aida pergi ambil Izza”

Keluar makan. Ke TerlioqPasta.

Habis makan, tiba-tiba owner TerlioqPasta belanja kek. Wow..

IMG20160409161034

Alhamdulillah..murah rezeki hari ni. Dah la makan pasta Kak Aida yang belanja.

IMG20160409154430
quesadillas.. Melebihi jangkaanku. Sedap.
tp
Kentang dengan keju. Dengan ayam yang dipotong kecil. Untuk pencinta kentang goreng.
IMG20160409155644
Spaghetti Bolognise
IMG20160409160232
Pasta Cajun. Keju tetapi ada sedikit pedas. Izza tak suka sangat..

Walaupun kehilangan Adam, Allah hantarkan orang-orang yang baik ini untuk tolong Izza. Kadang-kadang tak sempat nak rasa sunyi. Selalu keluar dan balik bila dah malam. Penat dan tidur. Tak sempat nak berfikir atau mengeluh. Alhamdulillah.

Untuk orang-orang yang menghulurkan tangan membantu Izza. Semoga tuhan membalas jasa kalian.

 

Kisah Kopi, Telur dan Lobak Merah

Izza termenung, memikirkan apa yang telah terjadi. Tiba-tiba teringat satu email kiriman seorang teman.

Email bertarikh 11 Mac 2006.

********

Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan menanyakan mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Ia sudah letih untuk berjuang. Sepertinya setiap kali satu masalah selesai, timbul masalah baru.

Ayahnya, seorang tukang masak, membawanya ke dapur. Ia mengisi 3 periuk dengan air dan menaruhnya di atas api. Setelah air di ketigatiga periuk2 tersebut mendidih. Ia menaruh lobak merah di dalam periuk pertama, telur diperiuk kedua dan ia menaruh serbuk kopi di periuk terakhir. Ia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar, memikirkan apa yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.
Setelah 20 minit, si ayah mematikan api. Ia menyisihkan lobak dan menaruhnya dimangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya di mangkuk yang lain, dan menuangkan kopi di mangkuk lainnya. Lalu ia bertanya kepada anaknya, “Apa yang kau lihat, nak?” “Lobak, telur, dan kopi” jawab si anak.

Ayahnya mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasakan lobak itu. Ia melakukannya dan merasakan bahawa lobak itu terasa enak. Ayahnya lalu memintanya mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, ia mendapati sebuah telur rebus yang mengeras. Terakhir, ayahnya memintanya untuk mencicipi kopi. Ia tersenyum ketika mencicipi kopi dengan aromanya yang khas.

Setelah itu, si anak bertanya, “Apa erti semua ini, Ayah?” Ayahnya menerangkan bahawa ketiganya telah menghadapi kesulitan yang sama, perebusan, tetapi masingmasing menunjukkan reaksi yang berbeda. Lobak
sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah. Cangkerang
tipisnya melindungi isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut.

“Kamu termasuk yang mana?,” tanya ayahnya. “Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui…Ketika kesukaran dan kesulitan mendatangimu, bagaimana kau menghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau kopi?”

Untuk renungan bersama………

Bagaimana dengan anda?

Apakah anda adalah lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kamu menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatanmu.

Atau… Apakah kamu adalah telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis? Namun setelah adanya kematian, patah hati, perceraian
atau kegagalan menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kamu menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku?

Ataukah kamu adalah serbuk kopi? Serbuk kopi merubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksimal pada suhu 100darjah Celcius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat. Jika kamu seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, kamu akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitarmu juga menjadi semakin baik.

*******

 

Kerdilnya seorang Izza..

Kepala sedikit sesak. Memikirkan masalah. Kadang- kadang Izza berfikir, kenapalah Izza perlu berhadapan dengan masalah begini. Dah terlalu banyak masalah yang Izza ada yang belum selesai. Tiba-tiba Izza tergelak sendiri bila terjumpa quote ini.

12494719_618598181629002_865134248868645503_n

Patutlah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah apabila berhadapan masalah sekarang, tenaga dan masa Izza digunakan untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah. Sebab itu Izza berdiam diri terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan. Jadi, sedikit sebanyak, pemikiran Izza teralih dari terlalu memikirkan hal Adam yang telah pergi.

Itulah hikmahnya. Allah betul-betul sayangkan Izza. Alhamdulillah.. Dia hantarkan insan-insan kepada Izza bukan dengan cara yang Izza nak, tapi dengan cara yang Izza perlu.

Kepada sahabat-sahabat, kadangkala tersalah bicara tersilap perbuatan. Tetapi tak tahu bagaimana Izza nak gambarkan dengan kata-kata betapa Izza menghargai jasa kalian. Izza bersyukur dikelilingi insan-insan yang mengambil berat tentang Izza. Tidak sempat nak merasa sunyi.

Apa yang berlaku, Izza takkan simpan dalam hati. Izza dengan rasa rendah diri menyusun sepuluh jari meminta maaf salah dan silap Izza. Dan Izza maafkan semua salah orang terhadap Izza. Bukan untuk menunjuk Izza baik. Tapi Izza tak tahu sampai bila masa yang Izza ada di hayat ini. Bila-bila masa nyawa akan terpisah meninggalkan jasad. Seperti Adam. Tak pernah Izza jangka. Dan Izza mahu pergi tanpa penyesalan.

Buat individu-individu yang pernah menyakiti hati Izza, hatta bekas suami sekali pun, Izza maafkan semua kesalahan. Rasa terlalu hina nak menyombong tidak mahu maafkan orang sedangkan Izza sendiri mengharapkan Allah mengampunkan dosa-dosa Izza.

Andai ada yang terguris di hati. Tegurlah Izza. Izza akui Izza banyak kelemahan dan kadang-kadang terlepas pandang. Izza hargai andai kesalahan Izza ditegur dengan cara yang berhemah. Dan Izza dapat berusaha untuk memperbaikinya.

Berbahagialah. Hidup ini terlalu singkat.

Tabahkah?

Tabahnya Izza..Kedengaran orang menyatakan Izza seorang yang tabah dan kuat semangat. Entahlah. Tak juga. Ada waktu Izza down juga.

ad3

Waktu Izza down, selalunya Izza akan duduk sendiri. Menangis sepuas hati. Biasanya di hadapan Pencipta. Dah penat menangis, Izza bangun dan makan kemudian meneruskan kehidupan. Haha.. Setakat ini ritual itu memang berjaya.

Tetapi!!

Bila kita sedih, kita cenderung untuk berfikir perkara yang lebih teruk dari masalah sendiri. Contohnya meratapi nasib sendiri. Izza cuba elakkan dari berfikir begitu. Alhamdulillah. Sebelum ini, Izza selalu meratapi penceraian Izza. Selalu bertanya kenapa Allah uji aku. Kenapa bukan orang lain. Kenapa orang lain bahagia. Pendosa juga bahagia. Kenapa aku yang harus lalui semua ini. Apa dosa aku. Kenapa Allah pertemukan aku dengan bekas suami dulu kalau dah ini pengakhirannya. Itu antara soalan yang selalu Izza tanyakan.

Tapi bila berhadapan dengan pemergian Adam.. Izza betul-betul redha dan pasrah. Sedih memang sedih.

Allah lebih tahu apa yang Dia tulis untuk Izza dan Adam. Ini adalah kesudahan yang paling elok untuk Adam. Izza pujuk hati sendiri. Ujian ini hanya untuk orang-orang yang terpilih. Banyak hikmah pemergian Adam. Ada yang Izza dah nampak hikmahnya. Tapi Izza pasti ada banyak lagi hikmah yang tersembunyi.

Izza bersyukur diberi peluang menjadi seorang ibu untuk anak syurga. Yang paling Izza suka, Adam dah confirm masuk syurga. Alhamdulillah.

Bila waktu bersedih rindukan Adam, Izza akan bayangkan Adam sedang bergembira di sana. Seperti dalam mimpi Izza. Adam berlari-lari. Pasti ada kawan-kawan yang ramai. Adam suka berkawan. Dengan anak-anak syurga yang lain. Bermain dengan gembira. Mama tak perlu risau. Ingatan Adam pada mama tiada. Sehinggalah waktu Adam akan berjumpa mama kembali, baru Adam akan ingat pada Mama. Kesimpulannya Adam tidak akan menderita rindu pada Mama. Betapa Allah menjaga anak-anak syurga itu.

Bila memikirkan semua itu, Mama akan tenang. Rindu Mama pada Adam akan bertemu penghujungnya. Mama membayangkan saat-saat kita bertemu lagi nanti. Pasti indah.

Itulah pengubat hati mama tatkala terlalu rindukan Adam.

ad2
Hadiah hari lahir yang ke-3. Kini tidak bertuan.

Kadang-kadang Mama terfikir Adam kesakitan menghadapi kematian. Tetapi Mama pasti Allah akan mengasihani anak-anak yang kecil. Waktu kejadian eksiden hari tu pun, Adam terus tak sedarkan diri sewaktu mama keluarkan Adam dari kereta. Anak yang tiada dosa. Pastilah kematiannya dipermudahkan.

Mama terus berfikiran positif. Andai Adam membesar dengan kurang kasih sayang dari Baba, kudrat mama mendidik Adam pasti terbatas. Mama risau andai Adam tergelincir dari landasan kehidupan. Waktu yang paling mama risau adalah waktu remaja Adam nanti. Realiti membesarkan anak seorang diri dalam dunia akhir zaman ini betul-betul menakutkan. Mama seorang guru. Mama tengok betapa akhlak pelajar runtuh akibat penceraian ibubapa. Itulah hikmahnya pemergian Adam sebelum Adam mula menanggung dosa.

Ujian ini..semoga menjadi asbab Allah ampunkan dosa-dosa mama. Mama terlalu ingin bertemu dengan Adam. Mahu bertemu dengan Pencipta dalam keadaan diampunkan dosa-dosa. Dunia ini cuma persinggahan.

Adam Khaliff.. Memories of life and reminder of death and afterlife.

Gadis Palestin

Menyepi seketika. Izza mengelak untuk menulis bila hati tengah marah. Nanti pelbagai perkataan terkeluar kemudian sendiri menyesal. Marah, sebab baru dapat surat saman polis trafik ke atas kereta sendiri. Marah sebab disaman bukan Izza yang pandu. Tetapi bekas suami. Tapi marah pun tak guna. Tenangkan hati. Pergilah bayar saman itu nanti. Minta pada bekas suami pun tak guna. Nanti bertengkar lagi. Cukup dah masing-masing membawa haluan sendiri tanpa mengganggu antara satu sama lain.

Sehari Izza stress dengan saman tu.

Tetapi, satu perkara buruk tak perlu dihitung. Ada banyak lagi perkara yang baik berlaku pada hari tersebut. Izza berjumpa dengan seorang yang hebat.

Sekumpulan pelajar dari UUM datang ke sekolah untuk program kolaborasi dengan Kelab Pencinta Alam. Turut bersama mereka adalah pelajar pertukaran dari Indonesia, Australia, China dan juga Jordan.

ais

Yang menarik perhatian Izza adalah gadis berhijab dari Jordan. Sangat berkeyakinan, cantik dan berpengetahuan tinggi serta peramah. Sempat Izza bersembang dengan dia setelah habis program. Rupanya dia berasal dari Palestine.

Menurutnya, keluarganya berhijrah ke Jordan dan kini memiliki kewarganegaraan Jordan. Kali terakhir dia dan keluarganya pulang ke kampung halaman adalah 4 tahun yang lepas. Dia juga turut menceritakan bahawa wilayah Gaza adalah tempat yang paling terkesan dengan konflik ini. Tiada perhubungan masuk dan keluar dari wilayah itu. Dia juga masih mempunyai saudara mara di Palestine yang menjaga tanah mereka dari dirampas pihak Israel.

Yang mengagumkan Izza, walaupun mereka diperangi Israel habis-habisan tetapi rakyat Palestine mengutamakan 2 perkara dalam hidup mereka. Pertama adalah agama Islam dan kedua adalah pendidikan. Dan dari pemerhatian Izza, dia juga begitu. Melihat kepada pengetahuan dan cara dia membawa diri, gadis ini bukan calang-calang orangnya.

Teringat Izza sewaktu pelarian Syria mula memasuki negara kita, lelaki-lelaki Malaysia mula menyimpan angan dan melawak mahu memperisterikan wanita-wanita Syria. Hmm.. sungguh. Tak layak. Iman mereka terlalu tinggi. Ilmu dan Islam dalam diri mereka melebihi lelaki Malaysia yang lebih tertarik kepada kecantikan dan mengambil kesempatan di atas kesempitan mereka.

Sambil memuji karipap yang dihidangkan kepadanya, kami berkongsi banyak cerita. Betapa rakyat Palestine menantikan seseorang seperti Salahuddin Al-Ayubi untuk membebaskan Palestine. Dan menurutnya, ramai pemuda seperti Salahuddin Al-Ayubi di Palestine sekarang.

Menurutnya lagi, terdapat ramai orang Palestine di seluruh dunia. Seperti dia yang sampai di Malaysia. Dan orang Palestine adalah golongan yang bijak pandai dan bersemangat kental.

ais3
Dari Kiri: Kak Aida, Pelajar Msia, China, Msia, Indonesia, Australia, Jordan, Izza, Msia, Msia, Msia dan China.ais2

Selesai berbicara dengannya, terfikir betapa beruntungnya hidup Izza. Punya kehidupan yang terlalu selesa. Merungut lantaran ujian yang kecil jika dibandingkan dengan mereka. Dan ujian dari Allah bukan menghancurkan kehidupan seorang muslim. Tapi menjadikannya seorang yang lebih kuat.

Dah sembang lama, tapi sampai sekarang tak bertanya nama dia. Haha..

Armenian Street

Lari dari rutin. Meneroka perkara yang baru. Itu yang Izza lakukan sekarang. Mencuba sesuatu yang baru. Meneruskan kehidupan. Menikmati setiap detik masih diberi nafas bernyawa dan dalam kembara hidup mencari Allah.

ar

Hari ini Izza dan Kak Farah ke Armenian Street atau pun Lebuh Armenian di Pulau Pinang.

Makan tengahari di Jawi House Cafe & Gallery. Pilihan Izza adalah Jawi Laksa dan Kak Farah memilih Nasi Lentil.

ar2“Rice noodles in fresh white fish tamarind coconut sauce, herbs, greens- Chef Nuril’s enriched lavish recipe, a must try”

Komen Izza : OK la. Kali pertama makan laksa Jawi Peranakan. Rasa agak lain dari laksa Penang yang biasa Izza makan. Mungkin diletakkan kunyit dalam masakan ini. Hehe. Mungkin.

 

ar6

“With lentil and fresh tumeric, lemon grass,herbs, coconut-milk, served with rose chicken OR spicy beef, with dalca, cucumber and anchovies – locally known as nasi kacang, a favourite Jawi Peranakan home food”

Komen Izza : Terlalu berempah. Sesetengah orang mungkin suka. Pilihan lauk adalah ayam atau daging.

 

ar5

Dipadankan dengan Teh Serai dihidangkan dalam teko yang comel. Betul-betul rasa Oriental. Sedap juga rasanya bila dimasukkan gula. Mungkin kerana faktor usia, citarasa makin berubah. Haha..
Yang menariknya, kafe ini dikunjungi oleh ramai pelancong asing. Dan individu-individu di sebalik tabir kedai ini adalah yang tidak kurang hebatnya. Suasana yang sangat menenangkan dan selesa. Selepas makan Izza ke tingkat atas yang ditempatkan bahagian galeri. Seperti menyusuri terowong masa mendalami sejarah Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Yang Izza faham, para saudagar dari Timur Tengah datang berdagang dan kemudiannya berkahwin dengan wanita tempatan. Dari situlah munculnya hidangan gabungan tempatan dan penggunaan rempah dari Timur Tengah.

ar4

Kemudian kami berjalan-jalan menyusuri Lebuh Armenian. Banyak galeri dan kedai-kedai cenderamata di situ.

Cuaca panas terik memang menggoda hati untuk menikmati ais kepal. Selalu Umi dan Abah bercerita zaman dahulu ais kepal berharga 20sen. Tapi di sini harga ais kepal adalah RM3.

Armenian street

Armenian street2

Berjalan lagi dan kami singgah menikmati aiskrim kelapa yang menjadi trend sekarang.

Sekian untuk hari ini.

Sudah hampir 3 bulan Adam pergi. Namun tidak pernah berlalu sehari pun tanpa Mama mengingati Adam. Allah.. terlalu rindu. Semakin rindu. Rindu yang semakin menjerut diri. Rasa sebak menyesakkan dada seperti tidak mampu bernafas lagi.

Tulisan Pertama

Assalamualaikum. Tulisan pertama seorang srikandi kehidupan di laman ini.

Alhamdulillah akhirnya impian memiliki laman sendiri tercapai. Insya Allah ruangan ini akan dimanfaatkan dengan motivasi dan catatan inspirasi dari seorang wanita yang pernah mengalami kegagalan dalam perkahwinan dan kehilangan orang-orang yang dikasihi. Walau apa pun yang pernah berlaku, hidup mesti diteruskan.
Kaki masih ada untuk melangkah. Masih bernafas dan mampu berfikir. Bangunlah. Manfaatkan kehidupan ini.

Siapa Izza Adam? Dan kenapa Niaforza menjadi pilihan?