Lama dahulu ada bekas pelajar memberitahu tentang kedai makan shell out Selera Tambun. Berkebetulan hari ni Izza berada di Batu Kawan dan mencari tempat untuk makan malam. Selera Tambun terpapar dalam carian di Google.
Rupanya tempat tersebut agak tersembunyi jauh ke dalam. Nyaris kami menyangka kedai tutup memandangkan dari jalan luar memang gelap.
Dari google maps kami menukar ke Waze barulah kami jumpa kedai yang penuh dengan pelanggan.
Kami menempah set RM30 untuk 2 orang.
Selera Tambun
1786, Jalan Bukit Tambun, 14100 Simpang Ampat, Pulau Pinang
017-467 5519
https://goo.gl/maps/N41REZFqH2G2
Bermula 2016, keluarga Izza mengadakan hari keluarga sekali setahun. Memandangkan semua tinggal berjauhan, payah nak berjumpa kesemua ahli keluarga sekali gus. Tahun 2016 kami bercuti di Villa Famosa dan The Hut di Melaka, 2017 kami bercuti di Villa 696 Port Dickson dan 2018 Penang menjadi destinasi pilihan. Semestinya Izza menjadi tuan rumah merangkap pemandu pelancong la kan.
Hari Pertama
1. Sarapan pagi di Medan Selera Penang Hill
2. Berkunjung ke The Habitat, Penang Hill
3. Makan tengahari di Mizi Bistro dalam Tesco Tanjung Pinang
4. Makan malam di Sup Hameed
Hari kedua.
1. Bersarapan di Nasi kandar Pokok Ketapang
2. Menaiki bot dari Taman Negara Teluk Bahang ke Pantai Kerachut dan Monkey Beach
3. Makan Malam di Nurul Ikan Bakar
Hari ketiga.
1. Sarapan lewat menjadi makan tengahari di Restoren Awet Muda berdekatan USM.
2. Riadah keluarga di Penang Bowl
3. Minum petang di Cendol Teochew
4. Makan malam di Restoren Nasi Kandar Hameediyah
5. Riadah dan istirehat di Padang Kota
Hari keempat.
1. Bersarapan di rumah
2. Menikmati Mee Udang Pak Tam di Teluk Kumbar.
3. Minum petang di Fruitmade di Lebuh Cannon, Georgetown
4. Makan malamChakueteow Sg Dua
Hari kelima
1. Ulang sarapan Nasi Kandar Pokok Ketapang sebelum kembali ke realiti.
Tamat sudah percutian di Penang tahun ini. Perlu merancang untuk tahun 2019. Ke mana ye kita?
Hari ini Izza mencuba tempat makan baru yang agak viral di Facebook iaitu Saigon Bowl yang terletak di Beach Street, Georgetown. Terima kasih kepada Nuur yang sudi belanja Izza untuk makan-makan sempena hari lahir tahun ini.
Tema kedai ini ialah makanan Vietnam. Tempat yang sangat menarik untuk lepak-lepak bersama kawan-kawan. Izza bayangkan kedai ini adalah kedai hipster yang sesak, rupanya tempat yang sangat selesa.
Ruang makan yang sangat luas dan selesa. Kami meluangkan masa lebih kurang 2 jam setengah di sini.
Pandangan atas hidangan kami untuk hari ini.
Izza memesan Pho Sliced Beef, dan Nuur memesan Dry Pho Chicken Breast. Sedap. Boleh rekomen kepada orang lain. Izza pernah mencuba Pho di vietnam. Tetapi tidak menepati citarasa tekak Melayu Izza. Tapi di Saigon Bowl, Pho yang dihidangkan sangat sedap sampai Izza hirup kuah.
Vietnamese crispy spring rolls.
Vietnamese fresh spring rolls yang dikenali ramai ( Izza pernah cuba di Ho Chi Minh dan Izza tak menggemarinya. Tapi yang ini boleh layan)
Chạo tôm – Vietnamese sugarcane prawn cake. Yang menariknya batangnya dibuat dari tebu, jadi anda boleh mengunyah batang tersebut setelah habis prawn cake. Rasanya mengingatkan Izza kepada otak-otak yang selalu nenek sediakan waktu zaman kecil dahulu.
Sweet Cassava Rolls. Sedap. Izza suka.
Vietnamese Pandan Green Tea sejuk untuk Izza dan kopi susu Vietnam untuk Nuur. Teringat memori minum kopi di pasar malam Benh Thanh setelah penat membeli-belah.
Bánh khọt – makanan vietnam berupa penkek yang kecil (seperti kuih cara berlauk) yang diisi dengan udang dan dihidangkan bersama sos ikan yang pedas dan manis. Sedap!
Dan usah khuatir kerana restoren ini telah mendapat sijil halal JAKIM. Mungkin di lain kunjungan, Izza mahu mencuba set steamboat pula. Nampak menarik. Ada set steamboat untuk seorang dan ada set untuk dikongsi beramai-ramai.
Waktu operasi: 12 tengahari- 10 malam. Alamat: 20A&B, The Whiteaway Arcade, Lebuh Pantai, 10300, Pulau Pinang Facebook: Saigon Bowl.
Alhamdulillah. Diberi kesempatan untuk menyambut ulangtahun kelahiran yang ke31.
Sambutan hari lahir tahun ini lebih meriah dari sebelumnya. Tak tersangka diraikan sampai begitu sekali. Nyata berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.
Dimulakan dengan pelajar Izza datang membuat kejutan di rumah. Selain dari kek, Fazlin, Natasha dan Umairah menghadiahkan Izza beg tangan.
Pulang ke Kelantan untuk sambutan hari raya Aidiladha, hari lahir Izza disambut dengan makan malam di Glewak Cafe, Kota Bharu yang ditaja oleh adik-adik.
Pada hari lahir Izza pula, setiap kelas yang Izza masuk dimeriahkan dengan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi oleh para pelajar.
Izza juga dihujani dengan ucapan selamat hari lahir di Facebook, Instagram, Whatsapp. Ada yang mendedikasikan lagu dengan alunan gitar. Ada yang mendedikasikan video kompilasi gambar-gambar. Selain itu, hadiah-hadiah juga memberi makna untuk ulangtahun kali ini. Dan murah rezeki Izza tahun ini ulangtahun diserikan dengan hadiah-hadiah. Terima kasih.
Penutup hari lahir Izza ialah sambutan bersama Kak Farah dan Ros di Swensens. Selain menu-menu lain, yang paling menarik mestilah aiskrim kek!
Hanya tuhan yang dapat membalas kebaikan kalian. Terima kasih kerana mencipta memori indah dalam kehidupan Izza.
Hujung minggu kali ini terisi dengan bahagia, lengkap dan sempurna. Dimulakan dengan memandu ke Cameron Highland, ini pengalaman pertama Izza memandu sendiri ke sini. Bertemankan Zura dan muzik, memang hilang segala tekanan kerja dan belajar.
Sampai di Cameron Highland, kami menginap di Big Red Hotel. Caj semalaman RM130 tanpa deposit. Puas hati sebab hotel baru yang lengkap dengan keperluan asas seperti meja solek dan mandian panas. Penting tu.haha..
Tempat pertama kami tuju ialah matlamat utama Izza ke Cameron. Minum teh sambil menikmati pemandangan ladang teh. Ladang teh Bharat menjadi pilihan kami.
Destinasi seterusnya kami ke Healthy Strawberry Farm yang terletak berdekatan dengan Rumah Persekutuan. Ladang strawberi di mana kami boleh petik sendiri. Teruja Izza mengambil gambar buah strawberi yang segar dan besar di pokok-pokok. Kami juga membeli coklat cair untuk dimakan dengan strawberi. Izza sangat sukakan rasa strawberi yang masam manis dimakan bersama coklat yang manis dan lemak.
Tips untuk membeli strawberi: Kalau untuk dibawa balik, jangan beli yang terlalu masak ranum. Nanti cepat rosak. Jangan simpan di dalam plastik tertutup. Dan beli dalam perjalanan pulang.
Kemudian kami ke Pasar Malam. Sebelum ini tapak pasar malam di Brinchang. Tetapi sekarang pasar malam telah dipindahkan ke Jalan Golden Hill, Sungai Ruil. Pasar malam yang lebih tersusun dan tiada lagi kesesakan lalulintas. Walaupun tertarik untuk membeli jagung dan ubi manis, tetapi entah kenapa tak beli pun. Cuma kaktus yang menjadi pilihan. 7 pokok kaktus yang comel-comel dengan harga RM10.
Pulang ke bilik hotel, kami keluar kembali untuk makan malam. Cuaca mula terasa sejuk. Sedap juga steamboat di kedai makan bersebelahan hotel kami. Kalau tidak silap, nama kedai tersebut Kerisek Emas.
Mengikut perancangan, kami mahu berjalan-jalan di sekitar pekan di situ dan mencari kambing bakar. Tetapi memandangkan perut pun sudah kenyang dan cuaca semakin sejuk kerana hujan, kami pulang ke hotel. Di bilik hotel, kami menikmati strawberri coklat sambil mengecas kembali tenaga untuk hari esok.
Keesokan harinya, selesai mendaftar keluar dari hotel, kami ke Sungai Palas BOH yang terkenal dan menjadi tempat penggambaran filem Ombak Rindu lakonan Maya Karin sebagai Izza dan Aaron Aziz sebagai Encik Hariz. Laluan ke sana agak mencabar terutama sekali apabila berselisih dengan kereta yang datang dari arah berlawanan. Tetapi, sebaik sahaja memasuki kawasan ladang, pemanduan tadi ternyata berbaloi. Tidak hairanlah tempat ini selalu penuh dengan pengunjung.
Kami bernasib baik kerana mendapat tempat di ruang anjung membolehkan kami menikmati hidangan sambil menikmati pemandangan yang indah dan suasana yang sejuk. Seperti semalam, kek keju strawberi dan teh menjadi pilihan Izza.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah di ladang lavender. Keadaan hari ini berbeza dari semalam kerana masih belum ramai pengunjung. Bayaran yang dikenakan ialah RM10 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak. Selain dari tempat-tempat yang cantik untuk bergambar, terdapat juga kedai-kedai yang menarik. Di sini Izza membeli jem strawberi dengan harga RM3 sebotol kecil untuk dijadikan cenderamata dan strawberi RM25 untuk 3 kotak besar.
Kemudiannya kami pulang ke Georgetown dan kembali kepada realiti kehidupan. Percutian yang berbaloi dan paling penting, sangat tenang melihat panorama Cameron Highland.
Pembentangan us. Atau proposal defend. Hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu. Selepas dapat kebenaran balik awal dari sekolah, terus ke USM. Sesi Izza bermula jam 3-4 petang. Sempat lagi untuk persiapan.
Di bilik siswa, bertemu dengan KakFa. Sempat berbincang dan siapkan slideshow. Haha.. Tak siap lagi? Macam biasa la. Tapi sempat lagi tidur sementara menunggu slot Izza. Selesai solat zohor, Izza menunggu giliran Izza. Sebelum masuk ke bilik pembentangan, Izza terjumpa dengan KakFa. Wah, dia dah lulus tapi bersyarat perlu buat pembetulan.
Tiba giliran Izza, berdebar juga. 2 orang pensyarah penilai bersama penyelia Izza sudah bersedia. Sebenarnya Izza lagi takut dengan penyelia Izza berbanding dengan penilai tu. Hahaha. Izza pun bentanglah apa yang patut. Sampai ke sesi soaljawab, lebih kepada memberikan pembetulan kepada Izza.
“Ok, please wait outside. We’ll call you after this”
Waktu ini yang paling berdebar.
“Ok Izza, masuk”
Nak nangis pun ada waktu ni. Haha.. Gagal bermaksud Izza perlu tambah satu lagi semester untuk siapkan disertasi atau thesis ini.
“Setelah kami berbincang, tahniah Izza. Anda lulus tetapi pembetulan perlulah dihantar dalam masa 2 minggu”
Alhamdulillah.. hilang segala debaran. Rasa dendam tidak cukup tidur dan stress sudah berbayar. Haha.
“Izza, jumpa saya sekejap lagi”, penyelia terus panggil untuk jumpa Izza dan berbincang tentang pembetulan. Tak kisah la pasal pembetulan, janji dah lulus. Hahaha.
Terus keluar dan cari KakFa sebelum pergi makan-makan meraikan kami lulus pembentangan usul.
Kami dah merdeka sebab slot kami pada hari pertama. Kawan-kawan yang lain masih berdebar dan bertungkus lumus. hahaha
Kali ini Izza menyertai Ce Ah, kawan sekelas Izza sewaktu di MRSM dulu bercuti ke Pulau Sembilan. Pada mulanya Izza hanya ingin bertandang ke rumah Ce Ah di Teluk Intan. Tapi malangnya Ce Ah perlu kerja. Tapi dia ajak Izza ikut sama ke Pulau Sembilan hari lain. Terus saja Izza bersetuju sebab memang Izza bosan di rumah menunggu sesi persekolahan bermula.
Hari Sabtu Izza memandu ke Teluk Intan dan bermalam di rumah Ce Ah. Hari Ahad jam 6.45 pagi kami berenam memandu ke Jeti Sungai Burung, Bagan Datoh. Sebelum itu kami bersarapan di pekan Bagan Datoh. Untuk ke jeti, kami berjalan melalui kawasan perkampungan nelayan Cina. Satu pengalaman yang baru bagi Izza. Jam 8.30 pagi kami menaiki bot di jeti berbekalkan jaket keselamatan membuatkan Izza sangat teruja.
Di jeti sebelum menaiki bot.Kami sudah sampai!. Sangat teruja.Sampai di pulau, kami diberikan 3 khemah yang siap terpasang. Izza berkongsi khemah dengan Ce Ah.
Seterusnya adalah aktiviti bebas, kami mengambil peluang bergambar dan bermandi manda di tepi pantai. Mandi sampai pedih muka kerana terkena air garam dan sinar matahari terik. Perasaan yang tenang melihat ombak memukul pantai, langit yang cerah dan burung helang berterbangan di dada langit.
Panas terik tidak dihiraukan. Yang penting pengalaman. Apalah sangat jika nak dibandingkan dengan sunburn nanti. Balik nanti la baru nak bising. Haha..
Jam 11.45 pagi kami makan tengahari. Semua lauk yang disediakan oleh pihak agensi ialah makanan laut.
Semua arahan diberikan dalam bahasa Cina memandangkan majoriti adalah kaum Cina. Tetapi, pekerja yang bertugas akan menghampiri kumpulan kami terlebih dahulu menyampaikan maklumat dan jadual program.
Seterusnya aktiviti bebas lagi. Memandangkan air belum pasang untuk kami pergi snorkelling, kami cuma berehat di tepi pantai menyaksikan orang bermain buaian dan bola tampar pantai. Sempat Izza terlena di kerusi tersebut.
Jam 2 petang kami dijamu lagi dengan minum petang. Awalnya minum petang. Bubur kacang, cucur udang dan buah tembikai.
Kami sempat bermain di pantai. Yang menariknya, di pulau yang sama, satu bahagian tempat kami mandi tadi airnya sejuk. Di bahagian yang bersebelahan dengannya, suhu airnya agak panas dan batu-batu karang tumbuh. Terdapat banyak gamat dan ikan-ikan di celahan batu.
Sea cucumber. Timun laut? Gamat?
Selesai makan jam 3 petang, kami dibahagikan mengikut kumpulan dan menaiki bot berasingan menuju ke kawasan snorkelling. Kali pertama Izza snorkelling waktu tingkatan 4 dahulu di Pulau Perhentian. Itu pun di tepi pantai. Kali ini berbekalkan jaket keselamatan dan peralatan snokelling, Izza antara yang turun ke dalam air paling awal. Haha.. konon berani. Bila masuk dalam air baru terasa panik sementara nak menyesuaikan diri. Sempat juga tertelan air masin. Haha..
Muka pucat. Ini bukan percutian diva.
Malangnya dek kerana rabun, Izza tak nampak pun dalam air. Jadi Izza lebih selesa mengapungkan diri dan bermain air. Itu pun tidak berani pergi jauh dari bot. Haha.. Dan Izza antara yang terakhir menaiki bot, itu pun setelah dipanggil.
Indah.
Perjalanan bot diteruskan ke pulau lain. Pelik juga apabila pemandu bot mengeluarkan satu plastik besar berisi roti. Rupa-rupanya terdapat seekor babi hutan tinggal di pulau tersebut. Sangat jinak. Terus sahaja dia mendapatkan roti yang dibawa. Menurut kepercayaan kaum Cina, sesiapa yang menyentuhnya akan mendapat tuah. Pelik kenapa ada seekor babi di pulau itu. Menurut sumber, babi tersebut berenang ke pulau itu.
“Ini tahun baru, you dapat tengok ini babi hutan, you dapat banyak luck nanti.”
“Oh ye ke? Ini tahun apa?”
“Tahun ayam. Tengok, ada seekor ayam jantan tepi babi tu. Awal-awal tahun you sudah tengok. Memang banyak luck nanti”
Haha.. Izza pun layan ketawa sekali. Tak berani turun pun dari bot. Hehe.. Hanya memerhati dari jauh.
Balik ke pulau kami, Izza sekali lagi menikmati makanan yang masih tersedia seorang diri. Nikmatnya makan menghadap laut sambil memerhatikan bot-bot yang datang dan pergi.
Pemandangan waktu itu. RIndu. Mungkin Izza akan ulangi lagi percutian ini. Mungkin juga solo.
Selesai makan, Izza membersihkan diri dan solat di dalam khemah. Selepas itu berehat sebentar sebelum dipanggil lagi untuk makan malam jam 6 petang. Menunya steamboat makanan laut. Kegemaran Izza. Haha..Habislah azam diet tahun 2017.
Kami!Sangat menggoda.
Kumpulan kami ditempatkan dengan satu keluarga dari Kuala Lumpur. Sebenarnya cuma kumpulan kami yang Melayu. Selebihnya ialah Cina. Namun kami tidak berasa kekok untuk berbual. Ramai yang menegur dan beramah mesra dengan kami.
Senja di pulau.
Selesai steamboat, kami berehat di tepi pantai. Tapi tak lama, selepas maghrib kami ke khemah dan berehat. Sebenarnya tidur. Sampai ke malam. Bunyi mercun membuatkan kami terjaga. Tetapi kerana keletihan,kami sambung tidur lagi. Kami terlepas menu tengah malam iaitu bubur makanan laut.
Jam 11. 45 malam, Izza dan Ce Ah turun ke pantai. Mencari matlamat utama kami sampai ke pantai ini iaitu untuk melihat cahaya biru plankton di gigi air.
Pantai tidak sunyi. Ada kumpulan di sana sini turut mencari plankton. Memang teruja sampai kami terjerit-jerit setiap kali ternampak cahaya biru.
Menurut pekerja di situ, plankton biasanya lebih banyak jam 3 pagi. Tetapi kamera telefon tidak dapat merakam cahaya biru tersebut. Sama seperti kelip-kelip di Kuala Selangor. Tetapi pekerja tersebut memberi tips supaya mengambil gambar menggunakan aplikasi camera 360.
Kami naik ke khemah. Izza belum solat Isyak. Kemudian sambung tidur mengharapkan untuk bangun lagi jam 3 pagi. Sempat lagi mengunyah kudapan sebelum tidur.
Jam 3 pagi kami bangun. “Ce Ah, kita nak turun ke pantai lagi ke ni?”
“Tak payah la Izza, tadi kita dah tengok. Sama je macam tadi”. Hahaha.. Sambung tidur sampai ke pagi.
Keesokan harinya, kami bangun pagi, bersarapan dan menaiki bot kembali ke daratan. Baru sedar kulit dah jadi hitam terbakar dek sinaran matahari. Haha..
Waktu untuk pulang. Tak puas rasanya meluangkan masa di sini. Tenang. Jauh dari hiruk-pikuk kota.Singgah di kedai untuk bersarapan pagi. Menu Izza pagi itu, roti canai dan Milo ais.
Kami kembali ke Teluk Intan dan Izza meneruskan perjalanan balik ke Georgetown.
Habis saja pembentangan kertas seminar hari tu, terasa lega dapat mengharungi semester 1 program sarjana ni. Baru semester 1. Haha.. Tinggal peperiksaan je lagi satu. Jadi untuk meraikan, Izza dan teman sekuliah, Nadia ke Bumbledee’s 1938 Cafe yang terletak di Rumah Tamu USM. Ini merupakan kali ketiga Izza ke sini. Pernah berbuka puasa di sini. Memang tak mengecewakan setakat ini.
Izza memesan Minute Steak. Steak yang dihidangkan dengan kentang putar. Dan air Lemon Mint.
Mashed Potato ada di bawah steak.Lemon Mint yang menyegarkan.
Nadia pula memesan lemonade dan grilled chicken chop with Fried Rice.
Pemanis mulut pula, Izza mengambil creme brulee yang tersangat Izza suka. Nadia memesan Lime Cake. Dan semuanya murah berbanding di tempat lain.
Potongan Lime Cake. Besar dan murah. Hanya RM5.Creme Brulee Izza. Rupa yang menipu. Sangat sedap.RM5.
Ada satu insiden, pelayan di situ, biasanya dari kalangan pelajar USM juga, tertumpahkan air Izza sewaktu menghantar ke meja kami. Cuak muka dia. “Minta maaf ye, nervous bila datang meja ni”. Aikk, nak marah pun tak sampai hati. Orang dah minta maaf.
Makanan yang membahagiakan.
Kami menikmati hidangan kami dengan tenang. Tempat ini juga boleh ditempah untuk majlis perkahwinan ataupun sambutan hari lahir.
Hari terakhir kami di negeri Sabah di bawah bayu. Kami keluar dan bertemu kawan kepada Alifah, Marjan. Kami sarapan pagi di Fook Yuen.
Makanan dan kami berpisah tiada.
Selesai sarapan pagi, kami mendaftar keluar dari Marina Court dan bertamu di rumah Marjan. Kami ke pasar membeli lauk-lauk untuk dimasak di rumah Marjan. Seronok Izza ke pasar. Semua haiwan laut agak murah. Hehe.. penuh bakul kami memborong.
Ketam RM10 untuk 3 ekor saiz sederhana, sotong RM6 setengah kg, kekapis atau scallop RM15 sekilo, udang besar RM17 setengah kg, kerang besar RM8 sekilo, ketam RM18 sekilo dan sepotong ikan tenggiri yang sangat besar RM5. Semua segar bugar.
Di pasar bersama Marjan.
Di rumah Marjan, kami memasak beramai-ramai. Kecoh dapur. Resepi memandai sendiri Google.
Kari ikan tenggiri, ketam nipah berlada, ketam laut masak telur masin, udang buttermilk, kerang rebus, sotong sayur campur dan kekapis (scallops).
Persahabatan yang tak terduga. Selamat berkenalan semua.
Petangnya kami bertolak ke lapangan terbang. Sedihnya percutian kali ini akan berakhir. Belum berpisah dah mula rindu. Persahabatan yang tidk diduga, rasa macam dah kenal lama. Harap boleh bercuti lagi beramai-ramai.
Catatan hari terakhir di bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam. Lama betul draf entry ini tersimpan. Tetapi Izza perlu menyiapkan entry ini sebelum melancong ke tempat seterusnya.
Muka baru bangun tidur. Menikmati roti canai seperti semalam.
Seusai sarapan, kami bersiar-siar menikmati suasana bandar ini buat kali terakhir sebelum berangkat pulang.
Kami disapa oleh sekumpulan mahasiswa yang sedang melakukan tugasan kerja kursus mereka. Tugasan mereka adalah menemuramah orang asing. Kami dengan senang hatinya sudi untuk ditemuramah. Tapi sukar juga memandangkan mereka tidak fasih langsung untuk berbahasa Inggeris. Rasanya lebih senang berkomunikasi dengan peniaga di pasar Benh Thanh.
DI taman berdekatan pasar Benh Thanh.Menikmati jus buah.
Seterusnya kami pulang ke hotel, mendaftar keluar dan menikmati makan tengahari di Restoran Kampung Melayu.
Entah kenapa Izza set dalam kepala Izza, penerbangan kami jam 11.50 malam. Rupanya jam 11.50 malam adalah waktu kami tiba di KLIA. Waktu kami berlepas adalah jam 9.30 malam. Nasib baiklah Izza sedar awal setelah memeriksa tiket penerbangan. Kalut juga kami dibuatnya. Mujur masih awal. Segera kami pulang ke hotel mengambil beg-beg kami dan berjalan menuju ke stesen bas Benh Thanh.
Selamat tinggal Ho Chi Minh. Boleh tanda dalam peta dah yang Izza dah sampai ke sini. Perhentian bas yang siap dilabel dengan nombor bas. Izza bergambar bersama orang tempatan yang sempat Izza berbual.
Di stesen bas, kami menunggu bas 109 sampai. Sempat Izza menegur mat saleh yang turut menunggu bas. Baru nak beramah mesra, bas dia dah sampai. Ishh.. kalau tak boleh dah selfie bersama. Kecewa. Haha..
Di dalam bas Izza ditegur oleh seorang perempuan tempatan bersama anaknya. Dia juga dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang. Walaupun ada kekangan bahasa di situ, tapi apa yang Izza faham adalah dia ke Ho Chi Minh kerana anaknya demam selama 16 hari. Di Ho Chi Minh ada hospital yang bagus dari tempat asalnya yang jarak 500km dari Ho Chi Minh. Rupanya anaknya perempuan. Izza ingatkan anak dia lelaki. Opps..
Sementara menunggu waktu berlepas, kami makan malam yang ringkas di Burger King. Yang lawaknya, kami mengira baki duit dong kami yang tinggal. Menu pula ditulis menggunakan dollar. Terkial-kial kami menggunakan telefon untuk mengira duit. Sampaikan jurujual berkata “Dont worry,u have enough money to buy these. And u can add other food too”. Hahaha..terima kasih kerana memahami. Memanglah Burger King Vietnam tiada sijil halal. Jadi kami memesan 2 set cheesesticks dan 2 set fish stick. Sambil menikmati panorama kapal terbang mendarat dan berlepas juga melodrama di hati kerana perjalanan kali ini sudah hampir di penghujung. Entah bila akan berpeluang kembara seperti ini lagi dengan sahabat yang sekepala seperti K.Farah.
Kiri atas: Cheesesticks Kanan atas: Fish sticks adalah fish fillet yang dibaluti rumpai laut dan dilapisi dengan breadcrumbs. yummy.. menepati selera kami.
Akhirnya kami hanya membawa pulang 40 000 dong (RM7). Haha.. pandai sungguh kami membeli-belah kan. Usah tanya berapa banyak kami berbelanja. Huhu.. Berdebar juga sebelum boarding sebab beg kami terlebih berat yang dibenarkan.
Tulisan ini dinukilkan sewaktu kami bergelandangan di KLIA. Menunggu hari siang sebelum pulang ke pangkuan keluarga.
Lupakan saja tilam empuk di hotel semalam.Hari ini cuma ada lantai yang keras dilapisi karpet busuk. Berbantalkan beg sendiri.haha..Yang pasti,ini momen yang tidak akan dilupakan.
Ini adalah kali pertama Izza bermalam di KLIA2. Penerbangan tiba jam 11.50 malam. Seusai solat di surau jam 1 pagi, kami mencari tempat untuk tidur. Banyak tempat dan ramai orang tidur di sekitar itu. Izza dan K.Farah menyertai mereka. Rata-rata tidak sedar dan tidak kisah pun dengan kehadiran kami. Jam 2 pagi hingga 5 pagi memang Izza lena diulit mimpi. Sedar-sedar dah ada seorang remaja lelaki India turut lena di tepi beg Izza. Nasib baik sedar diri ini bergelandangan di sini. Kalau tak, jadi drama dah Izza terjerit di situ.Haha..
Kami ke surau.Solat subuh dan bersarapan nasi lemak KFC bersama secawan kopi. Makan tak pernah tak berselera.
Kemudian, Izza dan K.Farah berpisah menuju ke destinasi masing-masing. K.Farah menaiki penerbangan ke Pulau Pinang dan Izza pula ke Bandar Tasik Selatan menaiki KLIA transit.
Bila di tempat orang, tak kekok untuk bertanyakan tempat dan arah. Tapi bila di negara sendiri, terus hilang keyakinan. Sindrom apakah?